Translate

Tuesday, January 22, 2019

MEMILIH minyak wangi yang tepat bukan sesuatu yang Mudah

Haruman sebahagian daripada gaya peribadi dan ia mempunyai impak besar terhadap penampilan serta pandangan orang terhadap diri kita.

Semburan minyak wangi yang sesuai bukan saja mampu membuatkan seseorang kelihatan lebih menarik, tetapi juga boleh menghilangkan tekanan seharian selain membantu menjadikan diri lebih berkeyakinan.

Deria bau yang 150,000 kali lebih sensitif berbanding deria penglihatan boleh mewujudkan ikatan penuh emosi dengan orang lain.

Anda tentu pernah teringat kepada seseorang atau suatu memori indah secara tiba-tiba apabila terhidu bau tertentu.

Wangian ialah campuran kompleks beberapa bahan mentah yang diadun antara sumber semula jadi dan sintetik dengan kandungan berbeza hingga menghasilkan bau tertentu.

Biarpun beberapa orang menggunakan minyak wangi yang sama, tetapi bau haruman berkenaan tetap berbeza kerana ia akan bercampur dengan bau semula jadi tubuh seseorang.

Bagaimanapun, kadangkala kita berasa keliru mengenai wangian yang perlu dipilih kerana terdapat ratusan jenama minyak wangi dalam botol cantik dengan beberapa jenis haruman di pasaran terdiri daripada Parfum, Eau De Parfum (EDP), Eau De Toilette (EDT) dan Eau De Cologne (EDC).

Berikut tujuh tip pemilihan haruman yang boleh dijadikan panduan bagi lelaki dan wanita untuk memilih haruman paling sesuai untuk mereka.

1. Diri anda sendiri penentu kepada jenis haruman yang sesuai kerana otak akan memproses bau dan sebarang haruman yang membuatkan diri kelihatan gembira dan tenang, adalah paling sesuai.

2. Jangan sesekali membiarkan orang lain membuat pilihan haruman untuk anda kerana akhirnya anda tidak akan menggunakannya kerana ia dirasakan tidak sesuai dengan selera.

3. Dapatkan seberapa banyak maklumat daripada orang sekeliling tetapi sekiranya lebih ramai yang memberikan pandangan negatif mengenai haruman yang dipilih, anda seharusnya mencuba sesuatu yang baru.

4. Jangan membeli secara membuta tuli ataupun melalui saranan orang lain, tanpa mencuba terlebih dulu. Cara terbaik memilih minyak wangi sesuai dengan menguji sama ada ia serasi dengan bau badan semula jadi melalui aktiviti yang dilakukan sepanjang hari.

5. Maksimum minyak wangi yang boleh dicuba pada satu-satu masa ialah empat supaya tidak tersilap memilih kerana terlalu banyak memproses bau. Jangan beli sehingga sudah membuat keputusan tepat.

6. Cuba minyak wangi dengan menyemburnya pada lengan dan di bahagian dalam siku untuk mendapatkan bau serasi. Jangan mencuba bau yang disembur pada kertas kerana baunya tidak akan sama apabila ia disembur pada badan.

7. Ketika mencuba wangian, bau sesuatu yang kuat seperti kopi sebelum mencuba haruman lain bagi mengelak deria bau menjadi keliru dan hilang fokus.

No comments:

Post a Comment